MADINAH AL MUNAWWARAH

Syukur Alhamdulillah atas segala nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T. pembukaan yang baik untuk tahun 2020 dimana aku sekeluarga dijemput untuk menjadi tetamu di Haramain iaitu Masjidil Nabawi dan Masjidil Haram. Ini adalah Umrahku yang ketiga dan Umrah yang pertama bersama suami dan anak-anak. Perancangan awal kami ingin melakukan Umrah pada bulan November 2019 tetapi perancangan Allah itu lebih hebat dan baik dimana atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan maka kami dan anggota keluarga yang lain memulakan perjalanan Umrah kami pada 9/1/2020. Umrah aku sekeluarga diuruskan oleh abangku sendiri tanpa menggunakan khidmat travel agency dan pertama kalinya kami menggunakan E-Visa yang dikeluarkan oleh pihak Arab Saudi.

Contoh E-Visa

Perjalanan kami bermula dengan menaiki bas yang di sewa khas dari Alor Setar ke KLIA pada 9/1/2020 (Rabu) jam 11 malam. Penerbangan kami ke Madinah pula pada 10/1/2020 pukul 3 petang. Kami sampai di KLIA pagi hari Khamis 10/1/2020 dan berehat seketika sebelum on board pukul 3 petang. Perasaan keterujaan untuk memulakan perjalanan Umrah sekeluarga memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Doa dan kesyukuran tidak henti-henti diucapkan dibibir siapa jangka rezeki kami sekeluarga untuk menjalani ibadah Umrah bersama anak-anak pada tahun 2020.

Sebelum kami memulakan perjalan Umrah 2020, segala kelengkapan perlu disenaraikan seperti dibawah :

  1. Makanan ringan seperti coklat, maggie cup dan keropok
  2. Ubat-ubatan (demam, batuk, minyak angin & selesema)
  3. Baju sejuk yang bersesuaian (musim sejuk)
  4. Termometer
  5. Kasut dan sarung kaki yang bersesuai
  6. Buku ibadah Umrah
  7. Sabun basuh baju dan berus
  8. Kain Ihram 2 pasang
  9. Telekung 3 pasang
  10. Bagasi yang mencukupi
  11. Selipar
  12. Wang Arab Saudi yang mencukupi
  13. Debit/Kredit Kad 

Kami tiba di Madinah pada 10/1/2020 pukul 7 malam waktu tempatan dan suhu sangat sejuk ketika itu. Disambut oleh sepupu yang tinggal di sana dan setelah selesai bagasi diambil kami bergerak ke Hotel Hayat Taqwa. Kerinduan yang telah sekian lama terpendam kini terubat apabila menjejakkan kaki ke tahan haram, Madina. Penginapan kami di Masijd Nabawi berdekatan dengan pintu 25, jarak hotel ke pintu lebih kurang 100 meter.  

Tibah Airport Madinah
Tibah Airport Madinah

Demam Di Hari Kedua

Musim sejuk di Madinah pada bulan Januari sangat kuat. Walaupun sudah mencuba menjaga kesihatan dengan baik, akhirnya pada hari kedua di Madinah kecundang juga apabila demam panas gara-gara mandi sebelum subuh. Mengikut nasihat  orang yang tinggal di sana, sekiranya hendak mandi di musim sejuk eloknya mandi pada waktu tengahari. Pada waktu sebeginilah ubat-ubatan yang dibawa sangat berguna dan penting. Apabila demam anda dinasihatkan supaya tidak keluar rumah antara 10 – 12 jam. Pada waktu solat air wudhu perlu dikeringkan dengan kadar segera untuk mengelak ia masuk ke dalam kulit. Selepas 12 jam berkurung dan makan ubat secukupnya alhamdulillah demam beransur hilang. Kembali untuk melakukan amal ibadah sebaik mungkin dengan ruang dan peluang yang diberi oleh Allah S.W.T.

Masjid Quba

Hari ketiga kami dibawa untuk ziarah di sekitar bandar Madinah Al Munawwarah. Tempat pertama yang dituju ialah Masjid Quba. Masjid ini terletak dua batu dari Masjid Nabawi. Masjid Quba ialah masjid yang pertama dibina oleh Nabi Muhammad S.A.W ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “ Sesiapa yang pergi ke Masjid Quba’ dari rumahnya dalam keadaan berwuduk dan solat sunat dua rakaat di dalam masjid berkenaan, ganjarannya adalah satu pahala umrah.” Disebabkan ganjaran pahala yang besar di masjid ini, maka ianya menjadi tempat ziarah yang wajib kepada para jemaah Umrah dan Haji. Selesai ziarah kami di Masjid Quba kemudian kami bergerak pula ke Jabal Uhud. 

Bukit Uhud

Jabal Uhud atau Bukit Uhud telah menjadi saksi ke atas satu peperangan yang besar antara orang Mukmin dan orang kafir Quraisy. Perang Uhud berlaku pada 11 Syawal tahun ke tiga hijrah antara tentera Islam dan tentera kafir Quraisy. Perang Uhud adalah perang balas tentera kafir Quraisy terhadap tentera Islam selapas kekalahan mereka pada Perang Badar.

Tidak jauh Bukit Uhud terdapat sebuah bukit merah yang dipanggil Jabal Rumat atau Bukit Pemanah di selatan makam Syuhada’, disamping Wadi Qonat. Disebut “Jabal Rumat” kerana disitu Nabi S.A.W menempatkan 50 orang pemanah (rumat) untuk bersiap siaga dalam perang Uhud, yang diketuai oleh Abdullah ibn Jabir r.a

Nabi S.A.W mengarahkan pasukan pemanah untuk melindungi benteng pertahanan dari diceroboh. Melihat pasukan musuh lari meninggalkan medan perang, pasukan tentera Islam yang lupa dengan arahan Nabi S.A.W lari dengan keseronokan untuk mendapatkan harta rampasan perang yang ditinggalkan tentera Quraisy. Melihat tentera Islam yang leka, ketua angkatan tentera Quraisy iaitu Khalid Al Walid membuat serangan hendap. Dalam serangan tersebut  ramai tentera Islam yang gugur syahid. Mereka mengundurkan diri sedikit demi sedikit mencari perlindungan.

Sejarah Perang Uhud banyak memberikan pengajaran seperti sekuat manapun strategi yang diatur, seandainya kepatuhan ahli pasukan tidak kental, maka ia akan membawa musibah besar. Patuh kepada pemimpin adalah pengajaran utama yang kita dapat dari peristiwa ini selagi mana ia tidak memudaratkan dan menyusahkan kita.

Bukit Magnet, Madinah

Hari keempat di Madinah, kami di bawa berkelah ke Bukit Magnet yang terletak kira-kira 30km ke utara Kota Madinah. Bukit Magnet diberi nama kerana keupayaannya untuk menggerakkan kereta sendiri sehingga mampu mencecah 90km/j. Warna batu pada Bukit Magnet ialah hitam dan merah menjadikan ianya salah satu tempat kunjungan untuk beriadah buat pengunjung tempatan dan luar. Sepanjang perjalanan ke Bukit Magnet kelihatan kebun-kebun kurma yang menghijau di kawasan yang dikenali sebagai Wadi Al-Jinn. 

Rehlah Di Bukit Magnet
Rehlah Di Bukit Magnet
Panorama Bukit Magnet
Panorama Bukit Magnet

Menikmati Sup Kaki Kambing, Madinah

Sebelum berakhir ziarah di bumi Madinah kami dibawa untuk menikmati sup kaki kambing yang sangat popular terutamanya ketika musim sejuk. Ini Kerana ianya dapat memanaskan badan. Kami dibawa ke restoran yang menyediakan ruangan untuk keluarga kerana di Saudi hanya kaum adam sahaja yang boleh makan diluar kaum wanita tidak boleh keluar bebas sewenangnya tanpa di temani mahram atau ahli keluarga. Sup kaki kambing disini kebiasaannya dimakan bersama roti, anda juga boleh memesan hidangan sampingan seperti hati kambing goreng. Berbeza dengan sup kambing yang saya pernah makan di Penang ianya berempah dan sedikit pekat, manakala sup kambing disini ringan dan kurang berempah. Mungkin di Penang masakan sup kambing dipengaruhi oleh citarasa India yang sukakan rempah ratus. Hidangan sup ini disertakan bersama-sama hirisan limau dan tahina (sejenis kuah kacang). Untuk lebih sedap lada hitam dan garam disediakan. 
Sup Kaki Kambing
Sup Kaki Kambing

MAKKAH AL MUKARRAMAH

Perjalanan Ibadah Umrah Kami

Selesai ziarah kami di bumi Madinah Al Munawwarah selama 5 hari. Pada keesokan pagi hari ke 6 kami bergerak ke bumi Haram Makkah Al Mukarramah untuk menunaikan ibadah Umrah kami dengan menaiki bas yang disewa khas. Perjalanan dari Madinah ke Mekkah mengambil masa selama 5 hingga 6 jam. Sekiranya anda berkemampuan anda bolehlah mencuba untuk menaiki keretapi express yang menghubungkan Madinah dan Makkah hanya dalam masa 2 jam setengah. Kami berhenti seketika di Bir Ali atau dahulu dikenali sebagai Dzulhulaifah untuk miqat di sana dan menunaikan solat sunat Umrah. Bir Ali mendapat nama bersempena sumur yang dibuat oleh Sayyidina Ali bin Abi Thalib. Bir bermaksud sumur dalam bentuk jamak manakala Ali diambil dari nama Sayyidina Ali bin Ali Thalib. Masa yang diberikan untuk para jemaah hanya 30 minit sahaja. Disini terdapat banyak kedai yang menjual pelbagai kelengkapan Umrah dan Haji serta buah-buahan. Sesudah itu kami meneruskan perjalanan ke Mekah sambil menyebut kalimat talbiyah bersama-sama jemaah yang lain di dalam bas.

Dalam Bas Ke Mekah
Dalam Bas Ke Mekah

Di Mekah kami menginap di Hotel Le’Meridien yang terletak di Kudai Road belakang Mekah Tower. Kami tiba di Mekah hampir masuk waktu Maqrib, lalu kami beristirehat seketika dan melakukan solat Qasar Jamak Maqrib dan Isyak. Selesai beristirehat dan solat kami meneruskan perjalanan ke Baitullah untuk menyempurnakan ibadah Umrah kami. Memandangkan anak-anak sudah keletihan maka saya melaksanakan Tawaf dan Sa’i dengan menggunakan skuter yang hanya muat 2 orang dewasa sahaja dengan harga 200 riyal. Ini pengalaman saya yang pertama menggunakan skuter. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar dan syukur kami kepada Allah S.W.T kerana dipermudahkan segala urusan walaupun penat .

Keesokan harinya kami menyusun program menuju ke Jeddah pula untuk berjumpa sanak saudara disana dengan menyewa sebuah coaster. Perjalanan dari Mekah ke Jeddah hanya memakan masa 1 – 2 jam sahaja. kami di bawa berjalan-jalan di kota Jeddah terlebih dahulu untuk membeli belah. Sedikit buah tangan kami sempat beli untuk dibawa pulang ke Malaysia. Selesai membeli belah, kami menuju ke rumah sepupuku Mazen di pinggiran kota Jeddah. Disana ramai sanak saudara telah berkumpul untuk luangkan masa bersama-sama kerana bukan senang untuk kami berjumpa. Kami meluangkan masa seharian di rumah Mazen sambil menikmati nasi Arab dan manisan yang dihidangkan. Sesi pada hari itu, diakhiri dengan sesi fotografi sebagai kenangan. Syukran buat Mazen Yusof Qadah sekeluarga.

Jeddah
Bersama Sebahagian Ahli Keluarga di Jeddah

Ziarah Bumi Thaif

Tidak lengkap ziarah Umrah kami sekeluarga jika tidak berkunjung ke bumi Thaif yang sejuk dan subur. Perjalanan dari Mekah ke Thaif mengambil masa hanya sejam setengah sahaja. Thaif terletak di wilayah Mekah, pergunungan Al-Sarawat Arab Saudi, bekas wilayah Hijaz, Arab Saudi. Oleh kerana Thaif terletak pada ketinggian 1,879 m (6,160 kaki), kawasan ini selalu dituruni hujan, bandar ini mempunyai iklim yang dingin sepanjang tahun dengan musim panas yang ringan (80-90F darjah) dan musim sejuk yang sejuk (40F, pakaian hangat diperlukan). 

Kabus Tebal Di Thaif
Kabus Tebal Di Thaif

Tempat pertama yang kami ziarah di Thaif ialah Masjid Abdullah bin Abbas. Siapakah Sayyidina Abdullah bin Abbas? Beliau merupakan sepupu Nabi Muhammad S.A.W yang paling muda memeluk agama Islam. Nabi Muhammad S.A.W sangat sayangkan beliau, justeru itu, semasa Sayyidina Abdullah bin Abbas masih kecil baginda mendoakan beliau khusus dengan meletakkan air liur baginda ke mulut Sayyidina Ibn Abbas agar menjadi ahlul hikmah. Sayyidina Abdullah bin Abbas telah meriwayatkan 1660 hadis dan beliau berpengetahuan luas dalam bidang Tafsir. Berdekatan dengan masjid ini terdapat perpustakaan dan disini juga menempatkan makam Sayyidina Abdullah Ibn Abbas. Di masjid ini kami sempat menunaikan solat sunat 2 rakaat sebelum meneruskan ziarah kami di Thaif. 

Masjid Abdullah Bin Abbas
Masjid Abdullah Bin Abbas

Selesai ziarah kami di Masjid Abdullah Ibn Abbas, kami bergerak pula ke kilang pembuatan minyak wangi milik Rashid Hussin Al Qorashi. Kilang tersebut menghasilkan minyak wangi dari bunga ros, selain minyak wangi terdapat juga sabun, air bunga ros, teh dan haruman lain yang dijual dengan harga mampu milik. Terdapat juga replika barang-barang pembuatan minyak wangi secara traditional. Kami membeli minyak wangi disini sebagai hadiah atau untuk kegunaan peribadi.

Kilang Rashid Hussin Al Qorashi
Kilang Rashid Hussin Al Qorashi
Replika Pembuatan Minyak Wangi Traditional
Replika Pembuatan Minyak Wangi Traditional

Sebelum kami bergerak balik ke Mekah, tempat terakhir yang kami singgah ialah pasar buah-buahan segar yang terkenal di Thaif sebagai  buah tangan. Pelbagai buah-buahan yang ada dijual disini seperti delima, anggur, aprikot, prun, epal, oren dan macam-macam lagi yang kami sendiri tak pernah jumpa. Rambang mata bila tengok buah banyak-banyak, tak tau yang mana satu nak makan, semua nampak sedap. Hari semakin petang , cuaca kian sejuk dan kabus semakin menebal. Kami kena bergerak pulang segera kerana bimbang keselamatan kerana jarak penglihatan agak terhad. 

Pasar Buah Thaif
Pasar Buah Thaif

Dalam perjalanan pulang kami berhenti seketika di Qarnul Manazil untuk mendirikan solat Jamak Qasar Maqrib dan Isyak dan memberi laluan buat jemaah yang hendak miqat untuk menunaikan Umrah. Lokasinya 94 kilometer di sebelah timur Kota Makkah. Miqat disini kebiasaannya digunakan bagi jemaah haji yang datang dari arah Najd atau Riyadh serta dari timur Kota Mekah. Kami tiba di hotel menjelang Isyak dengan kepenatan dan melabuhkan kenangan indah di Thaif dalam ingatan.

Qarnul Manazil
Suasana Malam Di Qarnul Manazil

Jabal Rahmah

Dua hari sebelum berangkat ke Madinah untuk pulang ke Malaysia, kami dibawa menziarahi sekitar Kota Mekah pula. Kami dibawa ke Jabal Rahmah iaitu bukit yang masyhur dalam sejarah Islam yang mempertemukan Nabi Adam dan isterinya Hawa selepas Allah turunkan kedua-duanya dari syurga ke dunia akibat memakan buah khuldi yang dilarang oleh Allah S.W.T. Disini ramai ummat Islam berdoa untuk kasih sayang samada untuk mengeratkan kasih sayang sesama suami dan isteri, ibubapa dan anak, atau yang belum bertemu jodoh inginkan jodoh yang baik soleh atau solehah, disinilah tempatnya.

Jabal Rahmah
Jabal Rahmah

Ziarah Sekitar Makkah

Kami juga dibawa menziarahi Bukit Thur, Jabal Nur, Masjid Jin dan kawasan Perkuburan Ma’lak. Gua Thur menyimpan sejarah Rasulullah SAW bersembunyi bersama Saidina Abu Bakar As Siddiq bagi mengelak daripada cubaan membunuh baginda oleh golongan kafir Quraisy. Peristiwa di Jabal Thur membawa kepada penghijrahan nabi ke Madinah Al Munawwarah demi menyebarkan risalah Islam kepada ummat manusia.

Selepas Gua Thur, kami menuju ke Gua Hira’ pula dimana Nabi SAW menerima wahyunya yang pertama daripada Malaikat Jibrail ketika baginda berusia 40 tahun. Selesai lawatan kami ke Gua Hira’ kami bergerak pula ke Masjid Jin dan ke Perkuburan Ma’lak.

Di Masjid Jin ini dikisahkan bahawa Nabi telah mengislamkan Jin selepas mendengar lantunan al Quran daripada Rasullullah dan Nabi berdialog dengan mereka lalu terus memeluk Islam. Akhir sekali lokasi kami ialah perkuburan Ma’lak yang dikatakan menjadi tempat persemadian isteri pertama Rasullullah iaitu Saidatina Khadijah binti Khuwailid.

PERSIAPAN PULANG KE MALAYSIA

Penerbangan pulang kami ke Malaysia dari Madinah adalah pada 23/1/2020 pukul 11 malam. Hari terakhir kami di Mekkah kami melakukan Tawaf Wada’ pada pagi hari 22/1/2020 dan solat sunat Tawaf sebelum bergerak keluar dari bumi Mekah. Perasaan sedih dan sayu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, hanya doa kami panjatkan agar dipanjangkan usia, diberi kesihatan yang baik untuk menjadi tetamu Allah pada masa akan datang. 

Penginapan kami di Madinah pada hari terakhir sebelum berangkat pulang adalah di Hotel Diyar Al Habib tidak jauh dari airport Madinah. Masjid Nabawi agak jauh sedikit tetapi masih boleh pergi menunaikan solat memandangkan musim sejuk tidak rasa kepenatannya. Tidak banyak aktiviti pada hari terakhir, kami hanya dibawa ke kedai kurma untuk membeli buah tangan buat keluarga dan sahabat handai. Kami pergi ke kedai kurma tersebut sebelum azan Maqrib dan ketika kami sampai tiada langsung pelanggan hanya kami sahaja di situ. Kami bebas untuk ke sana sini dengan senang tanpa ada gangguan. Kami juga sempat melawat disekitar kedai tersebut. Alhamdulillah kurma-kurma disini segar dan elok dengan harga yang berpatutan. Kurma Ajwa juga nampak baru dan cantik. Banyak barang yang kami beli, maka terpaksa la kami membeli beg baru untuk barang-barang kami.

Kedai Kurma Majed
Kedai Kurma Majed
Suasana Dalam Kedai Kurma
Suasana Dalam Kedai Kurma

SELESAI SUDAH

Alhamdulillah selesai sudah perjalan Umrah 2020 buat aku sekeluarga. Segala kenangan ku coretkan didalam blog ini untuk tatapan di masa akan datang. Buat abangku Ahmad Fahmi Awang terima kasih kerana berusaha keras untuk merealisasikan perancangan ini dan buat bosku Amanludin Md Saad untuk penajaan. Terima kasih juga untuk Malaysian Airlines atas layanan yang diberikan.

MAS
MAS

0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Follow by Email
YouTube
YouTube
Instagram